Sunday 2 April 2017

Belajar berbahasa Inggeris

ALANGKAH seronoknya jika semua penuntut Melayu di negara ini mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Ia bukan sahaja memberi kebaikan pada diri sendiri sebaliknya dapat meningkatkan imej negara di mata dunia dek kehebatan menguasai bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, penguasaan bahasa antarabangsa dalam kalangan siswa Melayu masih lagi turun naik. Ada yang cakap kurang memberangsangkan, ada  pula yang kata sangat lemah, rendah dan macam-macam lagilah.

Dek kegagalan ini, ada sesetengah pihak yang berkata, sekiranya gagal menguasai bahasa itu, kita tidak boleh membaca banyak karya-karya hebat kerana rata-rata tulisan dan hasil kajian ditulis dalam bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, banyak faktor sebenarnya yang membuatkan seseorang itu gagal berbahasa Inggeris. Persekitaran, luar bandar, ibu bapa dan sosioekonomi
adalah antara penyebabnya.

Walau bagaimanapun, sikap seseorang individu juga perlu diambil kira. Mereka perlu berubah jika mahu berjaya dalam bahasa Inggeris. Mereka tidak boleh mengharap kepada guru atau pengajar sahaja sebaliknya perlu ada usaha sendiri untuk maju dalam pelajaran


Masih lemah kuasai bahasa Inggeris

Bilakah keadaan ini akan berubah?

Sehingga kini, tahap penguasaan siswa Melayu dalam bahasa Inggeris (BI) masih lagi rendah. Sedih dan terkejut namun itulah realiti yang harus kita terima.

Dalam hal ini, semua pihak tidak boleh menuding jari kepada sesiapa pun berkenaan kelemahan siswa kita dalam bahasa antarabangsa berkenaan.

Ini kerana, sudah bermacam-macam cara dilakukan pihak tertentu namun masih tiada keputusan yang boleh membanggakan.

Dek perkara ini, ramai yang mula melahirkan kebimbangan. Masing-masing mula berfikir apakah cara lagi yang perlu dibuat untuk membolehkan siswa Melayu menguasai bahasa Inggeris dengan mudah.

Untuk berkongsi pandangan tentang isu ini, penulis cuba mendapatkan beberapa responden yang berkaitan bagi memberi pendapat dan komen tentang isu tersebut.

Rata-ratanya mengakui siswa siswi Melayu memang lemah dalam bahasa antarabangsa. Paling mengejutkan ada siswa yang cemerlang dalam subjek tertentu tapi bila bab bahasa Inggeris mereka gagal.

Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Dr Sabariah Md Rashid berkongsi pengalaman. Katanya, bukan tidak ada siswa Melayu yang cuba bertutur dalam bahasa Inggeris, ada, tetapi...

"Apabila mereka cuba bercakap dalam bahasa Inggeris di universiti, acap kali dijadikan bahan ketawa, oleh sesiapa sahaja. Kali pertama, mungkin boleh sabar, tapi bila sudah terlalu kerap, hati mana yang boleh tahan dan akhirnya, semangat mereka kian hilang," katanya.

Bagi Kaunselor Hal Ehwal Pelajar Usim, Nur Farhana Sulaiman pula, belajar bahasa Inggeris bukanlah bermaksud anda perlu menjadi seorang ‘Mat Salleh’ tetapi anda adalah seorang rakyat Malaysia yang profesional di peringkat global.

"Tidak kira siapa anda, Melayu, Cina atau India, anda tetap sama dan ia tidak akan mengubah warna kulit dan jati diri anda. Jadilah seorang siswa dan rakyat Malaysia yang bijak dan mempunyai jati diri yang kukuh umpama ikan di laut. Ia tetap tawar sekalipun hidup dalam lautan yang masin," katanya penuh makna.


Kurang yakin, malu punca lemah BI

"Punca utama siswa tempatan gagal menguasai BI disebabkan tiada keyakinan diri, takut diperli dan perasaan malu yang sangat menebal.

"Enggan bergaul mesra dengan siswa antarabangsa dan tidak berlatih untuk bertutur dalam BI juga menjadi penyebab utama kenapa kita masih lemah.

Jadi, saya menyeru kepada semua siswa agar segera berubah dan cari alternatif tertentu untuk kuasai BI. Jika tidak memang sampai bila-bila pun kita akan lemah," kata siswa UM, Nurul Amirah Mohd Azizul.

Dia yang mengikuti kos Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, UM berkata, BI bukanlah bahasa yang sukar. Sekiranya dilatih sepanjang masa, pastinya mampu dikuasai dengan mudah.

"Di UM, budaya bercakap dalam BI sudah jadi kebiasaan. Dalam kelas, ketika pembentangan, di kantin mahupun di mana sahaja. Namun, budaya bercakap dalam bahasa Melayu tetap jadi keutamaan lagi di sini.

"Siswa bangsa Cina dan India sangat membantu siswa Melayu sekiranya mereka mahu bertutur dalam BI. Misalnya, ketika sesi pembentangan, mereka ini sentiasa bagi sokongan pada siswa Melayu untuk meneruskan presentation dalam BI.

Kata-kata semangat sering dibangkitkan oleh mereka buat penuntut Melayu dan inilah yang kita mahukan, sikap kerjasama semua siswa tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan," katanya.


Cakap BI sejak kecil

Bagi Nur Fatin Nabila Abd Rahman, 22, tiada ucapan selain 'terima kasih' yang mampu ditujukan untuk ibu bapanya. Ini kerana, tanpa mereka, mana mungkin dia mampu bercakap fasih dalam BI sehingga sekarang.

Katanya, memang sejak dari kecil lagi dia telah dilatih dan diasah oleh keluarga untuk bercakap dalam bahasa komunikasi antarabangsa itu.

"Ketika darjah dua, saya sudah boleh bercakap dan menulis dengan baik dalam bahasa ini. Semua guru memuji dan saya begitu menghargainya," katanya yang kini sedang mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi di UniSZA,

Menurut Fatin, di UniSZA, dirinya sering dijadikan rujukan kawan-kawan kampus untuk proses pembelajaran BI.

"Bukan ingin mendabik dada tapi apa yang saya perkatakan ini hanyalah sekadar perkongsian. Jika kawan ada masalah dalam BI, datanglah berjumpa dengan saya.

Kita boleh belajar bersama-sama dan seterusnya menjalinkan persahabatan lebih erat lagi selepas ini," katanya yang dilantik Exco Kebajikan, Keselamatan dan Kesihatan bagi MPP, UniSZA.  

Memandangkan gadis ini mengikuti jurusan bahasa Inggeris, jadi, bentuk komunikasi sesama rakan adalah dalam BI 100 peratus.

"Memang saya bercakap dalam BI dengan kawan satu kos. Begitu juga dengan pensyarah. Di rumah juga, perbualan sesama adik-beradik dan ibu ayah adalah BI.

Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik cuma ada segelintir kawan-kawan kampus sering memandang saya dengan pandangan pelik kerana sentiasa bercakap dalam bahasa tersebut," katanya.


Berdepan kesukaran dapat kerja

Mengikut kajian yang dilakukan jobstreet.com, sebanyak 55.5 peratus siswa hari ini sukar mendapat pekerjaan disebabkan kegagalan menguasai BI.

Faktor ini mendahului faktor-faktor lain seperti personaliti/perwatakan tidak menarik ;permintaan gaji tidak sesuai dengan kelayakan; latar belakang pendidikan yang tidak sesuai dengan jawatan diminta dan sebagainya.

Hari ini jaringan industri semakin berkembang pesat sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta. Segala-galanya telah mencapai tahap global di mana kita bukan lagi berurusan dengan kelompok tempatan yang serumpun tetapi lebih daripada yang dijangka.

 "Mungkin pada hari ini siswa masih belum melihat dan percaya apa yang pasaran kerja mahukan namun selepas mula berkhidmat dan diterima bekerja, barulah mereka akan mula menyedarinya," kata Nur Farhana.

Menurutnya, punca utama siswa gagal berbahasa Inggeris disebabkan kurang keyakinan diri.

Seterusnya, takut digelar poyo dan ditertawakan rakan-rakan juga antara punca mengapa siswa Melayu gagal dalam BI.

Kurang membaca bahan-bahan dalam BI juga salah satu faktor namun sebahagian besar faktor ini datang daripada pemikiran tidak rasional diri sendiri yang memandang serius akan apa pandangan orang sekeliling terhadap mereka, kata beliau.

Mengulas tentang kemampuan pelajar bandar yang dilihat menguasai kemahiran BI berbanding pelajar luar bandar, ini jawapan Nur Farhana.

"Saya lebih suka untuk melihat perkara ini daripada sudut peluang dan ruang yang berbeza di antara dua kelompok ini. Maksud saya di sini, pelajar di bandar mempunyai ruang dan peluang yang lebih terbuka luas berbanding pelajar luar bandar. Itu yang menjadikan sebahagian besar pelajar bandar lebih menguasai BI berbanding sebaliknya.

"Peluang ini bukanlah semata-mata berpeluang belajar di sekolah kerana sistem pendidikan negara kita samada di bandar atau di pedalaman tetap sama, cuma peluang yang saya maksudkan adalah merangkumi pelbagai aspek seperti pengaruh ibu bapa, rakan sebaya, kemudahan internet dan pendedahan yang kerap mereka terima.

"Namun tidak saya nafikan, ramai juga pelajar luar bandar yang setanding dengan rakan-rakan di bandar malah mungkin jauh lebih baik pencapaiannya dalam subjek BI.

Malah, sebahagian besar siswa juga datang dari kawasan luar bandar namun kesungguhan menuntut ilmu itu menjadikan mereka lebih baik daripada sebelumnya," katanya sambil mengakui yang dirinya juga datang dari sebuah daerah kecil dan pendalaman, cuba berusaha kuasai BI dan kini sudah fasih sepenuhnya dalam bahasa tersebut hasil usaha keras yang dilakukan tanpa henti.


Terus berkomunikasi tanpa jemu

"Terus terang saya katakan, penguasaan BI kalangan siswa Melayu seluruh negara masih tidak mencapai tahap yang diinginkan lagi.

Sudah bermacam cara dijalankan oleh kementerian, universiti dan sekolah, namun masih belum ada kejayaan yang begitu cemerlang," kata Dr Sabariah yang memuji usaha keras yang dilakukan banyak pihak namun secara realitinya, setiap apa yang dilakukan itu harus dibuat dengan lebih terperinci lagi.

"Untuk pastikan pelajar mahupun siswa dapat menguasai BI, kita sebenarnya tidak boleh buat secara adhoc. Bila adhoc, akan timbul banyak masalah.

"Misalnya di universiti, siswa yang lemah dalam BI akan belajar dengan pensyarah mahupun rakan-rakan. Namun, perlu diingat, mereka tidak akan memberi tumpuan penuh sebab BI bukanlah subjek yang diambil di universiti. Jadi, bila tidak fokus, penguasaan BI mereka tiada perubahan.

Natijahnya, tetap lemah sampailah sekarang," ujarnya sambil memberi semangat bahawa, siswa dan graduan kini masih ada masa untuk berubah asalkan ada kesungguhan.

"Jangan cepat putus asa. Anda masih ada masa. Cuma anda perlu buat sesuatulah. Hadir kelas BI tanpa henti, belajar bercakap dalam BI setiap hari dengan mereka yang fasih, jangan malu, pupuk minat, banyakkan membaca dalam BI dan banyak lagi.

Nasihatnya, untuk fasih BI, seseorang perlu dilatih sejak usianya tujuh tahun lagi. Bila meningkat dewasa, dia mampu menguasai BI dengan lancar sekali.

Kelebihan berganda jika kuasai bahasa antarabangsa

Yang Dipertua MPP UPSI, Mohammad Faizol Mohamed Khan berpandangan, tahap penguasaan BI dalam kalangan siswa Melayu di negara ini sememangnya masih di peringkat sederhana lagi. Walaupun bermacam cara dilakukan, namun masih belum ada perubahan yang boleh dibanggakan.

Katanya, setiap individu wajib menguasai BI pada masa sekarang. Tak kisahlah belajar di bandar ataupun luar bandar, yang paling penting di sini adalah keupayaan untuk bertutur dan menulis dalam bahasa antarabangsa perlu ada dalam diri setiap orang.

Tambah beliau, dalam bidang pekerjaan, faktor kemampuan berbahasa Inggeris amat dititikberatkan oleh pihak industri dan syarikat.

"Majikan lebih tertarik untuk mengambil pekerja yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa Inggeris. Yang tidak dapat menguasai, memang menemui kesukaran untuk peroleh pekerjaan.

"Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing cuma apa yang saya ingin tekankan di sini, bertutur dan menulis dalam BI akan memberi kelebihan pada seseorang," katanya tegas.

Sementara itu, di UPSI, kelas BI dikenali English Proficiency (EP) telah ditubuhkan dan ia wajib diikuti oleh semua siswa universiti berkenaan. Setakat ini, kelas EP berjalan lancar dan siswa dilihat bersungguh-sungguh untuk belajar walaupun ramai di antaranya sudah pun menguasai BI dengan baik.

Mengulas tentang program anjuran MPP, Faizol berkata, MPP UPSI tidak pernah pandang ringan akan hal ini. Beberapa program seperti coral speaking, kertas kerja dalam BI dan sebagainya telah dianjurkan untuk membantu penuntut menguasai dengan baik dalam BI.

"Kita berusaha untuk bantu mereka yang lemah. Jangan segan untuk berjumpa dengan kami kerana kita sama-sama belajar untuk perbaiki kelemahan diri," katanya.


Sentiasa luang masa dengan siswa antarabangsa

Untuk mempertingkatkan kemahiran BI, setiap penuntut perlu kerap berinteraksi dengan penuntut antarabangsa. Sebabnya, apabila kita menjadikan mereka sebagai kenalan akrab di universiti, sudah pasti BI akan menjadi medium utama untuk berkomunikasi sepanjang masa.

"Keterpaksaan untuk bercakap menggunakan BI dengan mereka, yang dilakukan secara rutin, akhirnya akan menjadi sesuatu yang mudah bagi kita.

"Kedatangan siswa antarabangsa ke universiti di Malaysia memberi manfaat yang amat baik dalam memahirkan kemahiran pertuturan dan penulisan BI untuk siswa tempatan," kata siswa Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang Usim, Muhamad Amirul Razali.

Menurut Amirul, BI penting kerana ia adalah bahasa yang akan digunakan secara kerap sewaktu bekerja kelak. Justeru, meningkatkan penguasaan BI perlu dimulakan ketika di universiti lagi melalui pembacaan BI dan perbualan.

"Sekiranya siswa tidak mahir berbahasa Inggeris, ia akan menjadikan individu tersebut tidak dapat berada one step ahead berbanding orang lain.

Tiada satu nilai aset yang boleh dibanggakan dan boleh digantung harap oleh majikan. Walaupun diterima bekerja, mungkin memberi kesan kepada proses kenaikan pangkat dan kualiti kerja kerana mereka tidak mendapat kepercayaan majikan sepenuhnya atas kekurangan yang dimiliki," ujar Amirul.


Bantu selagi mampu

"Saya mempunyai ramai rakan dari Malaysia dan Libya yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan fasih. Mungkin kegagalan tersebut disebabkan BI bukan bahasa rasmi di negara masing-masing," kata Adelakun Olawumi Azeezat, siswa Usim yang berasal dari Nigeria.

Beliau yang mengikuti jurusan Sarjana Kaunseling Keluarga berkata, sepanjang belajar di Usim, dia berusaha membantu siswa yang kurang mahir dalam BI.  

"Bila berjumpa, saya akan pastikan mereka berbahasa Inggeris dengan kami. Walaupun ada yang malu dan lebih senang berdiam diri, saya tetap pujuk mereka untuk terus speaking.

"Setiap manusia tidak sempurna. Begitu juga saya yang kurang fasih dalam bahasa Melayu. Jadi, bila mereka speaking dan mungkin kedengaran ada cacat celanya, saya akan bantu. Begitu juga saya, jika ada buat salah sepanjang berbahasa Melayu, mohon tunjuk ajar daripada semua," ujarnya yang berusia 26 tahun.

Bagi meningkatkan penguasaan BI, Adelakun berpendapat, BI perlu dijadikan bahasa komunikasi yang utama di Usim. Pihak pengurusan, tenaga pengajar universiti dan semua siswa diwajibkan bertutur dalam bahasa tersebut agar isu sukar menguasai BI tidak lagi timbul.

http://www.sinarharian.com.my/rencana/belajar-berbahasa-inggeris-1.397223

No comments:

Post a Comment