Sunday 2 April 2017

5 sebab kenapa anda masih lemah dan belum menguasai Bahasa Inggeris

Masih ingatkah lagi bila kali pertama anda mengenal Bahasa Inggeris? Secara umumnya kita belajar bahasa Inggeris sedari umur lima tahun lagi. Di tadika, taska mahupun taski. Terdapat juga antara kita yang mengenal Bahasa Inggeris seawal dua tahun! Kita diajar mengenal A, B, C. Contoh-contoh bagi huruf ini biasanya menggunakan Bahasa Inggeris.   

          Contohnya A untuk Apple, B untuk Ball, C untuk Cat dan seterusnya. Jadi, jika dikira pembelajaran anda dari tadika sampai ke tingkatan lima, sudah 13 tahun anda belajar bahasa Inggeris. Purata setiap tahun kita anda akan mengambil dua kali peperiksaan penilaian iaitu pertengahan dan akhir tahun.       Oleh yang demikian sudah 26 kali anda menghadapi peperiksaan bahasa Inggeris. Kepada yang berjaya menguasai Bahasa Inggeris dalam tempoh ini tahniah diucapkan.

 Namun, bagi anda yang masih belum berjaya usah risau dan bimbang kerana hakikatnya anda masih belum terlambat! Ada bermacam-macam kaedah yang anda boleh gunakan untuk mempertingkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris anda. Sebelum itu mari kita lihat terlebih dahulu masalah-masalah yang sebenarnya membelenggu diri anda. 1. Bahasa Inggeris tidak penting              Mereka yang lemah berbahasa Inggeris sebenarnya tidak nampak akan kepentingan Bahasa Inggeris. 

Akibatnya mereka tiada keinginan untuk belajar bersungguh-sungguh. Mereka ini belajar Bahasa Inggeris kerana terpaksa. Mereka tiada minat langsung untuk belajar tentangnya apatah lagi untuk menguasainya. Bahasa Inggeris bagi mereka adalah satu bahasa yang susah, berbelit-belit dan memeningkan kepala.      Mungkin juga mereka bercita-cita untuk menjadi nelayan satu hari nanti. Jadi tidak perlulah beria-ia belajar Bahasa Inggeris. Namun begitu saya pasti anda bukan salah seorang daripadanya. Kalau tidak masakan anda sanggup membeli membaca info saya ini. Sekalung tahniah kepada anda. 2. Mind-set serta cara belajar yang salah        

  Kesinambungan daripada faktor di atas, sebab-sebab mengapa mereka tidak minat belajar bahasa Inggeris, menganggap bahasa Inggeris ini sesuatu yang mengerikan dan tidak nampak kepentingan Bahasa Inggeris ialah kerana mereka tidak tahu cara yang betul untuk belajar dan menguasai Bahasa Inggeris. Di sekolah minda kita tidak diprogram dengan betul sebelum sesuatu pembelajaran bermula. Sebaliknya kita terus diajar tentang present tense, past tense, past perfect tense dan sebagainya menggunakan Bahasa Inggeris.  

      Akibat daripadanya pelajar terpinga-pinga seterusnya tidak minat untuk belajar. Apabila tidak minat belajar maka terdapat pelajar yang mengambil jalan mudah dengan ponteng kelas dan sebagainya. Selain itu, cuba kita fikir-fikirkan setelah berbelas-belas tahun kita belajar Bahasa Inggeris di sekolah, kita masih tidak dapat berbahasa Inggeris yang baik. Sehingga kini, kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris masih lagi perbualan hangat masyarakat Malaysia. Tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pembelajaran kita selama ini dan itulah antara perkara yang akan saya kupas seterusnya. Teruskan membaca sehingga akhir. 3. Malas buka kamus     

     Salah satu penyakit utama yang membarah dalam diri kita dalam menguasai bahasa Inggeris ialah malas membuka kamus. Lebih teruk lagi, ada sesetengah orang yang langsung tidak mempunyai kamus! Mereka hanya meminjam dari kawan-kawan yang baik hati jika mereka memerlukannya. Daripada membuka kamus kita lebih gemar untuk bertanya kepada kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang berada berhampiran kita untuk mengetahui maksud sesuatu makna perkataan.     Ya! Bertanya merupakan salah satu proses pembelajaran yang baik dan berkesan. Anda juga berhak untuk bertanya kepada kawan anda yang power dalam Bahasa Inggeris tentang perkataan yang anda tidak tahu maksudnya. Tetapi harus diingat, mereka juga berhak untuk tidak memberikan anda jawapan kepada persoalan anda. Ini kerana mungkin mereka memandang anda sebagai seorang yang tidak bersungguh-sungguh dalam menguasai Bahasa Inggeris seperti yang pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini.      

   Selain itu, rakan anda juga mempunyai daftar kata yang terhad. Tidak mungkin ia telah menghafal kamus yang mempunyai sekurang-kurangnya 40,000 perkataan! Mungkin juga maksud sesuatu perkataan yang anda cari itu berbeza dengan apa yang diberitahu oleh rakan anda. Oleh itu amat rugilah anda sekiranya tidak mahu menggunakan kamus. 4. Pengaruh Persekitaran  

        Selain itu, persekitaran juga sebenarnya mempengaruhi tahap penguasaan bahasa Inggeris seseorang. Kita dilahirkan sebagai Melayu. Kulit kita sawo matang. Bahasa kita Bahasa Melayu. Di negara kita Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi. Biasanya kita akan menggunakan bahasa ibunda kita untuk berkomunikasi dengan keluarga, rakan-rakan, saudara mara dan guru-guru.       Dari awal pagi kita bangun, kita bercakap Bahasa Melayu, jumpa kawan-kawan kita cakap Bahasa Melayu, dengar radio-radio berbahasa Melayu, menonton filem-filem Melayu dan sebagainya.

 Pendek kata kita hanya berada di Zon Melayu sahaja. Semasa cuti semester ketika belajar dahulu, saya pernah bekerja sebagai juruwang (cashier) di sebuah stesen minyak di kampung saya. Saya berkenalan dengan seorang mak cik Melayu dalam lingkungan umur 50-an, saya namakannya Mak Cik Tipah. Mak Cik Tipah yang memberi tunjuk ajar kepada saya tentang selok-belok kerja saya. Mak Cik Tipah sudah hampir 30 tahun bekerja di situ. Hari pertama saya di situ saya telah menerima kejutan dari mak cik yang hanya mengayuh basikal tua ke tempat kerja ini.  


     Dia boleh berkomunkasi dalam Bahasa Limau dengan pelanggan-pelanggan berbangsa Cina! (Maafkan saya, Bahasa Mandarin) Saya cukup kagum. Malah pelanggan-pelanggan Cina yang pertama kali datang kesitu juga turut kagum. "Waa pandai cakap Cina aa..." "Mak cik, apa rahsianya?" tanya saya. "Mak cik dari kecik lagi duduk dekat kampung Cina, sekolah di sekolah Cina, main dengan orang Cina, semuanya dengan orang Cina. Lama-lama boleh le cakap Cina..." jawab Mak Cik Tipah dengan loghat Perak yang pekat. 5. Belajar tapi tak gunakan   

        Satu persoalan penting yang perlu dijawab. Seumur hidup anda, berapa banyakkah ayat Bahasa Inggeris yang anda pernah ungkapkan? Pernah tak anda bercakap Bahasa Inggeris sepenuhnya selama 10 minit tanpa henti? Jika tidak pernah, bagaimana anda boleh tiba-tiba fasih berbahasa Inggeris ketika anda menghadiri temuduga misalnya, sedangkan anda hanya beberapa kali sahaja anda bercakap dalam bahasa Inggeris? Tidak masuk akal bukan?  Pepatah Arab ada mengatakan, "Ilmu tanpa amal bak buah tanpa rimbun."    


    Maksudnya tidak bererti banyak ilmu yang kita ada jika ilmu itu tidak digunakan. Umpama sebuah kereta yang bernilai ratusan ribu ringgit yang anda beli tetapi anda tidak menggunakannya. Sebaliknya anda simpan ia di dalam garaj. Buat pameran. Lama-kelamaan pasti kereta itu akan rosak.         Saya yakin ramai di antara anda telah mampu sedikit sebanyak untuk membaca, mendengar dan memahami buku-buku Bahasa Inggeris, perbualan Bahasa Inggeris dan sebagainya tetapi apabila disuruh berkomunikasi, ramai yang menggeleng-gelengkan kepala dan tersengih-sengih. Sebabnya ialah kita jarang-jarang sekali menggunakannya.     Baiklah saya tidak mahu berceloteh panjang lagi. Saya akan kongsikan dalam entry seterusnya strategi pertama untuk menguasai Bahasa Inggeris.  Selamat Membaca!

http://hawaonlinehouse.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment