Sunday 2 April 2017

Punca pelajar kita lemah bahasa asing

BANYAK telah diperkatakan tentang ketidakupayaan pelajar bumiputera khasnya Melayu menguasai bahasa Inggeris dengan bagus, baik bertutur mahu pun menulis.
Akibatnya, ramai kini pegawai kerajaan, sesetengah guru bahasa Inggeris, pendidik hatta diplomat kita pun yang tidak ada kemahiran dan kecekapan (proficiency) dalam bahasa antarabangsa yang terunggul ini.
Ramai orang kita yang berwajib termasuk saya telah puluhan tahun lamanya menyeru tiada rugi bahkan amat beruntung jika anak bangsa cekap dwibahasa: Bahasa ibunda dan Inggeris. Minoriti yang celik dan insaf menerima baik nasihat itu tanpa sedikitpun luak keperibadian Melayunya walaupun mereka mahir dalam bahasa Inggeris bahkan mereka lebih berwibawa dan berguna. Bagi kebanyakan kita, rayuan itu seperti daun keladi dimandikan.
Saya tidak hairan apalagi terkejut membaca dakwaan ramai pelajar kita di Mesir gagal menguasai bahasa Arab dengan baik akibatnya ramailah yang gagal dalam peperiksaan.
Menguasi bahasa pengantar amat penting. Kita telah berjaya separuh dalam tugas dan ujian melalui penguasaan bahasa pengantar biar apa pun bahasa itu. Seperti bahasa Inggeris, kegagalan menguasai bahasa al-Quran ini banyak sebabnya dan ia tidak terhad kepada sekolah agama rakyat sahaja bahkan kelemahan dalam bahasa Arab meliputi keseluruhan pelajar kita di Mesir dan negara-negara Arab lain.
Apa pun saya pohon, baik mereka di pusat atau di negeri Kelantan, janganlah mempolitikkan isu pendidikan kerana mangsanya adalah anak bangsa. Dua masalah di depan kita: Pelajar kita yang mengambil usuluddin, sejarah dan falsafah Islam, syariah dan lain-lain disiplin dan berada di negara-negara Arab lemah bahasa Arab seperti juga ramai pelajar kita di Amerika Syarikat dan Britain cacat bahasa Inggeris.
Jangan segan dan malu menerima hakikat ini walaupun sakit telinga kita mendengarnya. Saya dapati antara sebab terpenting ialah sikap ibu bapa dan pelajar sendiri; pelajar tidak berinteraksi, tidak bercampur dan bergaul dan kalaupun ada, kurang dengan bangsa tuan rumah, kurang membaca dan ketiadaan sifat suka mengharungi cabaran dan menghadapi risiko dan malu membuat kesilapan lantas cari jalan senang: Tinggal sesama sendiri, paling teruk ke sana-ke mari sesama rakan sekampung sama ada di Kaherah, Iskandariah, London, Glasgow, Oklahoma, Chicago dan di Hartford; ke hulu ke hilir siang malam bercakap, berdakwah dan berhujah sesama sendiri dalam loghat wilayah, tidak dalam bahasa kebangsaan yang standard pun, maka masakan mereka boleh fasih dalam bahasa tuan rumah.
Dalam perhatian saya pelajar kita di perantauan terdiri dari berbagai kelas dan fi'il seperti di tanah air juga. Ada yang moden, berilmu, bebas, berdikari dan membanggakan. Sungguhpun ramai di Amerika dan di Mesir, sebenarnya jiwa mereka terus tinggal di kampung. Hanya jasad dan sikap yang merugikan sahaja berhijrah ke Amerika dan ke seberang laut.
Golongan ini lebih baik, lebih murah dan lebih elok belajar di daerah masing-masing. Setengah-setengahnya usahkan dapat menyesuaikan diri di Amerika atau di Mesir hatta di Kuala Lumpur pun mereka akan mengalami kejutan budaya, terlampau kekampungan, langsung tiada bertolak-ansur berdasarkan keadaan dan alam sekitar. Tidak fleksibel.
Kalau pelajar kita di Kaherah terperangkap dengan sistem pendidikan fleksibel universiti Al-Azhar yang membenarkan pelajar membawa ke depan mata pelajaran yang gagal tanpa had tempoh, pelajar kita di Amerika pula terdedah kepada pelbagai gangguan dan masalah antaranya kelemahan dalam bahasa pengantar untuk mendapat ijazah dalam masa yang ditentukan dan pada tahap kepujian atau tertinggi.
Apa pun saya amat tidak setuju cadangan agar kerajaan menggalakkan lepasan sekolah Arab rakyat atau sebarang pelajar belajar dalam negara sahaja dan hanya ke seberang laut bagi peringkat sarjana dan kedoktoran. Ini tidak menyelesaikan masalah pokok. Kalau bahasa Arab mereka meningkat dan mereka diterima masuk ke Al-Azhar masakan kerajaan boleh larang. Itu bukan dasar kerajaan kita yang saya tahu. Dasar pendidikan kita terbuka. Bangsa kita boleh, kita bukan tidak cerdik asal bersikap positif.
* TAN SRI ABDULLAH AHMAD Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
-UTUSAN MALAYSIA -1999

No comments:

Post a Comment