Tuesday 28 March 2017

Kelemahan berbahasa Inggeris membimbangkan

TAHAP penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris memang sentiasa menjadi bahan perbincangan bukan sahaja di kalangan para pendidik (khususnya yang mengajar Bahasa Inggeris di sekolah dan juga institusi pengajian tinggi), tetapi juga turut menarik perhatian pihak kerajaan malah kalangan masyarakat.
Walaupun pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan, bagi menghambat isu ini - yang terbaharu dengan memperkenalkan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), namun kemampuan pelajar dalam bahasa Inggeris terus diragukan.
Keputusan MUET yang pertama kali diduduki oleh sejumlah 25,142 calon pada Jun lalu menyaksikan bahawa kemampuan para pelajar dalam Bahasa Inggeris masih lagi di tahap yang kurang memuaskan. Lebih daripada 50% pelajar yang menduduki ujian sebagai syarat kemasukan ke universiti itu sebenarnya berada di paras yang memerlukan perhatian sewajarnya kerana keupayaan mereka untuk menggunakan bahasa kedua itu masih lagi lemah.
Tentunya sesuatu yang agak menghairankan, di sebalik penekanan dan tumpuan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan dalam menggalakkan penggunaan bahasa tersebut, ditambah lagi dengan faktor sejarah yang kita pernah dijajah oleh Inggeris dahulu, soal tahap pencapaian Bahasa Inggeris di kalangan pelajar masih lagi boleh dipertikaikan.
Ketika Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam semua mata pelajaran di sekolah dahulu, soal kelemahan penggunaan bahasa Inggeris mungkin tidak timbul langsung.
Tahun 1979 menyaksikan tahun terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, MCE dilaksanakan di peringkat sekolah menengah. Bermula 1980 bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran di sekolah sama ada di peringkat sekolah rendah atau pun menengah perlu menggunakan bahasa Melayu.
Sekali gus ini bermakna Bahasa Inggeris dianggap tidak lebih daripada satu mata pelajaran dan dimensi penggunaannya di kalangan pelajar semakin terbatas. Saya bernasib baik kerana diberi peluang untuk belajar dalam era pengantar bahasa Inggeris. Semua subjek di ajar dalam bahasa Inggeris.
Bukanlah niat saya untuk menyalahkan sistem pendidikan yang ada sekarang tetapi sekurang-kurangnya pengalaman belajar bahasa tersebut masa lalu itu tentunya sedikit sebanyak dapat memberi jawapan kepada kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi kini, lebih-lebih lagi selepas terlaksananya Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang mana semakin kurang penekanan diberikan kepada bahasa Inggeris.
Dengan cuma 30 atau 40 minit sehari atau pun lebih kurang empat jam seminggu, pelajar tentunya mempunyai tempoh waktu yang begitu terbatas untuk meningkatkan kemahirannya dalam penggunaan bahasa Inggeris.
Jadi, selepas kurang lebih sebelas tahun para pelajar didedahkan dengan subjek ini, tentunya kita tidak mampu mengharapkan pelajar betul-betul sudah menguasai bahasa tersebut justeru bahasa Inggeris diajar tidak lebih hanya sekadar satu subjek.
Melalui KBSM, pelbagai elemen telah diperkenalkan untuk memupuk minat pelajar terhadap bahasa Inggeris. Antaranya, dengan membawa semula unsur sastera Inggeris klasik (yang telah dipermudahkan) supaya dapat dinikmati oleh para pelajar.
Sekitar 80-an dahulu, pihak Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk program Class Readers (bacaan kelas) ke semua sekolah menengah di seluruh negara dengan harapan akan timbul kecintaan para pelajar terhadap bahasa Inggeris. Difahamkan berpuluh-puluh judul karya klasik telah diubahsuai dan dipermudahkan mengikut tahap kebolehan pelajar serta diedarkan di sekolah-sekolah.
Malangnya, ada segelintir guru yang tidak menyambut baik usaha ini dan menganggap ia cuma akan menambahkan lagi beban yang sedia ada. Akhirnya, program yang sepatutnya boleh dijadikan pemangkin untuk menyemai minat pelajar terhadap bahasa Inggeris khabarnya tidak memenuhi objektif seperti yang diharapkan.
Tanpa kita sedari bahawa melalui minat yang mendalam dalam membaca khususnya bahan-bahan yang ditulis dalam bahasa Inggeris akan meningkatkan perbendaharaan kata pelajar di samping didedahkan dengan struktur dan gaya penulisan yang sebenarnya banyak membantu pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris.
Bukan sesuatu yang luar biasa bahawa melalui pengalaman saya sendiri, kegagalan sebahagian besar pelajar untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan lebih berkesan banyak disekat oleh faktor kurangnya kosa kata dalam bahasa tersebut.
Seperti yang didedahkan oleh Menteri Pendidikan ketika mengulas keputusan MUET itu, kebanyakan calon tidak mampu bertutur dan menulis dengan baik serta gagal menghuraikan tajuk-tajuk yang kompleks kerana kurang perbendaharaan kata dan agak lemah dalam penguasaan nahu.
Masalah ini tentunya boleh diatasi sekiranya para pelajar banyak membaca bahan-bahan dalam bahasa Inggeris. Jadi di sinilah letaknya peranan para guru malah ibu bapa juga untuk menggalakkan pelajar dan anak mereka berjinak-jinak dengan bahan-bahan yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
Soal minat atau pun motivasi sering dikaitkan dengan tahap penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris dewasa ini. Sememangnya, motivasi memang mempunyai pengaruh yang kuat untuk proses pembelajaran bahasa yang berkesan. Apa yang dapat dilihat sekarang, faktor motivasi kurang diberikan perhatian dalam sistem pendidikan sekarang. Dalam sekumpulan pelajar yang sama tahap kecerdasannya, mereka yang tinggi motivasinya, tentunya akan lebih berjaya daripada mereka yang rendah motivasinya.
Dalam hubungan ini, pakar psikolinguistik, Stevick (1982) menyatakan bahawa motivasi ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu motivasi integratif dan juga motivasi instrumental. Motivasi integratif ialah dorongan yang kuat untuk diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat penutur bahasa Inggeris, sekiranya mereka mampu menguasai bahasa tersebut.
Dalam konteks masyarakat negara ini, keperluan untuk ini mungkin tidak timbul, namun apa yang perlu diberikan penekanan ialah motivasi jenis instrumental. Kita dapati para pelajar yang gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik masih lagi tanpa susah payah membolos masuk ke IPT awam khususnya walaupun tahap kemampuan bahasa Inggerisnya memang boleh diragukan.
Oleh itu langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan MUET mulai tahun ini tentunya dianggap sebagai motivasi instrumental kepada para pelajar untuk tidak memandang ringan kepada perlunya penguasaan bahasa Inggeris.
Maknanya, hanya selepas melepasi MUET, pelajar akan diberi peluang untuk melanjutkan pengajiannya di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Saya berpandangan adalah lebih wajar sekiranya lebih banyak motivasi bersifat instrumental ini diperkenalkan supaya masalah kelemahan dalam bahasa Inggeris ini dapat ditangani segera. Kalau difikirkan wajar apa salahnya, pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris ini dijadikan syarat juga untuk menjawat pekerjaan di sektor awam, seperti yang diamalkan oleh sektor swasta.
Dengan tidak berniat untuk mendewa-dewakan bahasa Inggeris dan meminggirkan bahasa Melayu, sudah sampai masanya untuk semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan melihat isu bahasa Inggeris ini dalam konteks kepentingannya dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Membiarkan para pelajar kita untuk terus lemah dalam bahasa antarabangsa ini hanya akan membuatkannya ketinggalan dalam mendapatkan maklumat dan ilmu yang rata-ratanya dalam Bahasa Inggeris. Di dalam bidang teknologi maklumat yang masih lagi didominasi oleh orang Barat, di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), bahasa Inggeris terus penting dan akan terus menjadi penting.
AHMAD KAMIL MOHAMED ialah Pensyarah Bahasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Johor.


http://ww1.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment